Masyarakat Islam Dalam Kota Global Berbilang Bangsa Dan Agama
Pada awal kedatangan Islam di Andalus purba, umat Islam tiada pilihan tetapi berusaha gigih menyediakan pendidikan Islam di kawasan amat baru dan asing. Tetapi mereka mewarisi pemikiran dan tamadun Islam yang lebih awal dari timur atau khususnya tamaddun Bani Umayyah berpusat di Damsyik. Di samping itu, pengalaman Bani Abasiyyah yang berpusat di Baghdad juga dimanfaatkan walaupun berbeza dari segi kuasa dan pengaruh politik. Walaupun berada di kawasan yang sangat baru dan serba kekurangan, berbekal iltizam yang kuat melalui falsafah dan kaedah pendidikan yang bernas dan berkesan, kota-kota di Andalus menjadi mantap, berkembang dan secara bertahap bersifat global serta berjaya membangun dan menarik bakat-bakat dari pelbagai negara dan agama.
Ciri kepimpinan yang bijaksana pada masa tersebut dan polisi-polisi yang bertepatan berjaya mewujudkan sekitaran yang aman, makmur sehingga menarik pelbagai bakat untuk bermastautin untuk ehwal keilmuan, perniagaan, diplomatik dan sebagainya. Walaupun, umat Islam mempunyai hak-hak istimewa di Andalus, tetapi golongan-golongan bukan Islam juga mendapati iklim di Andalus amat menyegarkan dan menarik. Sikap terbuka dan toleransi kepada pelbagai bangsa, agama, mengutamakan persaingan kepada kebaikan dan kebebasan untuk mengajar dan menimba pelbagai jenis ilmu merupakan antara kejayaan utama kota global Cordova di Andalus.
Sebagai negara sekular, pemerintah Singapura menyerahkan ehwal agama termasuk pendidikan agama kepada masyarakat yang menganuti agama berkaitan. Ini adalah kesinambungan dari polisi penjajah British yang tidak menyokong atau menentang secara terang-terang pengajaran dan amalan agama Islam.[1] Dengan ini, umat Islam di Singapura, bertanggung jawab untuk memastikan pendidikan agama terus dilaksanakan tanpa sokongan atau bantuan secara langsung dari pihak berwajib. Masyarakat Islam perlu membuat banyak inisiatif sendiri untuk memastikan terdapat sumber kewangan dan kepakaran secukupnya. Tanpa bantuan dan campur tangan pihak berwajib, umat Islam belajar berdikari dan berusaha sendiri untuk memastikan keperluan beragama dan pendidikan agama terus wujud. Tanpa bantuan dan campur tangan juga, seharusnya, terdapat lebih kebebasan untuk menentukan falsafah, kaedah dan matlamat pendidikan agama walaupun bukan secara mutlak.[2]
Dalam masa yang sama, umat Islam minoriti di sini yang kebanyakannya berbangsa Melayu terpaksa bersaing dengan rakyat lain terutama dari bangsa Cina dan India dalam sistem bersifat demokrasi dan meritokrasi. Tambahan dari itu, dengan kehadiran ramai warga asing dari pelbagai benua dan negara yang bermastautin di pulau kecil ini, persaingan ini bertambah hebat dari pelbagai segi. Dalam sistem dan sekitaran demikian, secara bertahap, hak-hak istimewa orang Melayu sebagai peribumi yang termaktub dalam perlembagaan menjadi kurang ketara.[3] Kini, pihak berkuasa bukan sahaja mengurus kemaslahatan rakyat sendiri tetapi juga harus menjaga kemaslahatan bakat-bakat asing dari pelbagai pelusuk dunia untuk mengoptimum ilmu dan kemahiran yang ada pada mereka. Ini difikirkan penting agar negara ini berfungsi sebagai kota global dan berupaya menarik bakat-bakat asing terbaik dari pelusuk dunia untuk kekal berdaya bersaing di peringkat serantau dan global.
Cabaran Sekularisma Berpaksi Keduniaan kepada Kehidupan Beragama
Gejala sekularisma yang berleluasa masakini secara global, mungkin tidak pernah berlaku pada awal zaman Andalus purba di mana pelbagai jenis ilmu difahami secara am, sepadu dan didasari oleh agama. Malahan cendekiawan tersohor pada masa tersebut pakar dalam ilmu-ilmu fardhu ’ain dan ilmu-ilmu fardhu kifayah secara sepadu. Malahan faham sekularisma sebagai satu gagasan ideologi dan pemikiran tersusun juga belum timbul dalam tamadun barat Kristian. Tetapi mungkinkah pada tahap kemunduran tamadun ini, aspek-aspek sekularisma telah memulakan bibit-bibit kelemahan dan kemudian keruntuhan tamadun Andalus? Adakah kelemahan dan kegenjutan aspek-aspek kerohanian menyebabkan pemikiran menjadi silap dan tersasar dari sebab dan matlamat sebenar kehidupan? Adakah dengan kemajuan ilmu pengetahuan dan pencapaian luar biasa dalam pelbagai aspek kehidupan di Andalus, menyebabkan mereka alpa sehingga berlaku keruntuhan kepada pemikiran, nilai, akhlak dan perilaku? Adakah ini semua menjadi antara penyebab utama perbalahan dan perpecahan antara umat Islam sehingga hancur di tangan musuh yang bersatu padu. Besar kemungkinan aspek-aspek seperti ini juga yang menyebabkan kelemahan dan keruntuhan tamadun-tamadun lain dahulu kala sehingga kini termasuk tamadun Islam di Nusantara?
Sekularisma yang dipelopori oleh tamadun barat Kristian yang juga merupakan penjajah di banyak negara-negara termasuk Singapura untuk ratusan tahun sehingga kurun ke 20. Akibat dari pengaruh sekularisma ini, aspek-aspek keagamaan dipisahkan daripada pemikiran dan amalan kehidupan semasa. Pengajian ilmu-ilmu semasa dipisahkan dari aspek kerohanian yang terkandung dalam agama. Akal fikiran manusia merupakan ukurtara utama dan pertama dalam segala penilaian. Peranan Tuhan, peranan kenabian, peranan kitab-kitab bersumber wahyu tidak menjadi relevan dan bukan menjadi sumber rujukan. Akibatnya, pengajaran dan pembelajaran ilmu-ilmu semasa bersifat utilitarian dan berfungsi untuk menjadikan manusia berperanan dalam konteks rakyat yang baik dan menyumbang kepada ekonomi, kemakmuran dan kesejahteraan negara.[4]
Negara dan sistem sekular sebenarnya bukan menjadi isu dan hambatan utama kepada masyarakat Islam setempat. Hakikatnya, cabaran utama ialah sekularisma sebagai satu program falsafah yang mempengaruhi dan mengancam pemikiran dan amalan melibatkan bukan sahaja umat Islam tetapi juga pelbagai bangsa dan agama lain termasuk negara-negara yang penduduk Islam majoriti. Sekularisma sebagai satu program falsafah ini telah mengakibatkan kecelaruan yang mendalam dan meluas dari segi makna kewujudan dan matlamat kehidupan insan, masyarakat dan negara. Falsafah ini berjaya mencorak pemikiran dan polisi pihak-pihak berkuasa, masyarakat dan individu merangkumi pelbagai aspek kehidupan dari segi pendidikan, alam sekitar, sains, politik sosial, ekonomi dan sebagainya.
Pemikiran dualisma sejajar dengan fahaman sekularisma dari satu sudut membebaskan manusia dari kawalan dan garispandu agama. Dengan kebebasan ini, manusia boleh melakukan segala hajat fikiran dan nafsu tanpa panduan keagamaan. Dari satu sudut, kebebasan ini telah merancak pelbagai inisiatif untuk membangun prasarana dan sistem ke arah pembangunan negara. Keperluan fisikal meliputi aspek pemakanan, perubatan, perumahan, perusahaan, perniagaan, pekerjaan dan sukan mendapat keutamaan dan kejayaan mendapat pujian dan menjadi pujaan. Kejayaan dan kebahagiaan dinilai dari aspek rational dan penilaian empirikal dalam alam fenomena. Aspek kerohanian dipinggirkan dan menjadi aspek sampingan dalam kehidupan.
Akibat dari sekularisma, pelbagai gejala baru timbul dari segi pemikiran, spiritual, psikologi dan sosial.[5] Nilai, sikap dan undang-undang boleh diubah mengikut keperluan dan desakan semasa.[6] Malahan ia berpotensi mendatangkan kemudaratan dari segi ekonomi, kesihatan, politik dan alam sekitaran kemelut kewangan global berkaitan dengan keruntuhan sistem kapitalisama, masalah epidemik penyakit, perzinaan dan pembunuhan bayi, kebakaran akibat kemarau yang serius, banjir yang luar biasa dan sebagainya. Cabaran sekularisma sebagai program falsafah ini yang berkemungkinan besar membezakan kejayaan Andalus zaman purba yang boleh bertahan selama 800 tahun dan Singapura yang hanya baru 43 tahun merdeka dari jajahan British. Kecelaruan dalam ilmu pengetahuan, dualisma dalam pendidikan dan menyempitkan pendidikan agama merupakan cabaran kritikal kepada masadepan pendidikan Islam secara am di sini dan di banyak negara Islam.
Cabaran Dualisma dalam Kepimpinan dan Ehwal Agama
Kebangkitan, kejatuhan dan corak tamadun Andalus banyak bergantung antara lain dengan mutu dan taraf kepimpinan. Kepimpinan pula dipengaruhi oleh pandang alam berdasar kepada pendidikan yang mereka terima. Pemikiran dan kerohanian para pemimpin mewarnai pelbagai aspek lain kehidupan melibatkan individu, masyarakat dan negara. Maka kita tidak boleh pisahkan usaha keilmuan dan pendidikan dengan ehwal kepimpinan. Antara punca kejayaan di awal Andalus ialah para pemimpin yang berwibawa, berilmu dan berupaya memahami, mengimbangi dan menyatupadu keperluan aspek bersifat rasional dan rohani. Ciri-ciri kepimpin seperti ini lazimnya boleh diwarisi dan boleh dipupuk untuk kesinambungan warisan selanjutnya. Penentu warisan ini ialah aspek keilmuan, pendidikan dan penghayatan. Ini bermaka golongan cendekiawan yang pakar dalam bidang masing-masing memainkan peranan kritikal dalam memastikan terdapat pemimpin yang berwibawa, berupaya dan berperanan. Malangnya, di akhir tamadun Andalus, isu kepimpinan dari pelbagai segi menjadi salah satu masalah meruncing yang menjejas pelbagai aspek kehidupan sehingga berlaku keruntuhan keilmuan, akhlak dan kegelapan ketamadunan.[7]
Dalam pemerintahan sekular, ehwal agama banyak diserahkan kepada budi bicara masyarakat sendiri. Dalam konteks Singapura, hal in berlaku juga tetapi tugas ini diwakilkan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), sebuah badan berkanun pula yang berfungsi mengurus dan mentadbir ehwal agama. Malahan ada seorang menteri yang dinobat sebagai Menteri yang Bertanggungjawab dalam Ehwal Masyarakat Islam yang terlantik dan terdapat juga undang-undang khas untuk umat Islam yang terkandung dalam AMLA. Keunikan ini khusus untuk umat Islam sahaja dan tidak terdapat pada masyarakat agama lain dan mungkin disebabkan aspek sejarah dan juga kedudukan Singapura berjiran dengan negara-negara yang majoriti beragama Islam.
Dalam hal ini, kedudukan MUIS agak unik kerana ia perlu mengambil kira polisi pemerintah dan pada masa yang sama harus peka dan berupaya memenuhi keperluan masyarakat. Kini masyarakat juga prihatin akan dwi-fungsi MUIS. Pertama, mentadbir orang Islam dalam konteks negara sekular. Kedua, membangun masyarakat Islam dalam bidang kerohanian. Adalah ketara bahawa MUIS berperanan kedua-dua sekali sehingga MUIS perlu mencari keseimbangan yang wajar dalam hal ini. Ini adalah satu contoh dualisma akan dwi-fungsi dari segi kepimpinan dan pentadbiran ehwal agama.
Al-Zuhri sebagai institut pengajian pos-menengah secara dasar mendapat restu dan sokongan moral dari MUIS pada tahap awal Al-Zuhri diasaskan. Sebagai agensi swasta, tiada bantuan kewangan atau material diberikan oleh MUIS. Ehwal perjawatan dan pengurusan Zuhri juga tidak dicampuri MUIS. Maka usaha mengimbangi aspek sekular bersifat keduniaan dan rohani tidak menjadi isu rumit di Al-Zuhri. Dasar dan matlamat pendidikan juga dapat dicernakan dengan jelas tanpa kerumitan-kerumitan sekularisma sebagai program falsafah.
Falsafah Pendidikan Islam
Falsafah Islam ialah falsafah yang berteraskan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Apabila seseorang Islam yang faham Islam membincangkan mengenai falsafah, tidak kira sama ada falsafah hidup atau falsafah pendidikan, perbincangannya tidak akan lari daripada prinsip dan matlamat Islam. Sebaliknya, seorang Islam yang tidak memahami hakikat Islam, maka falsafah yang dirasakan berdasarkan Islam itu dalam banyak hal bertentangan dengan kehendak Islam.
Falsafah Islam cuba mancari hakikat manusia dan alam semesta ini. Setelah berusaha mencari dan berfikir berdasarkan wahyu, maka dapat dirumuskan bahawa manusia dijadikan oleh Allah untuk hidup di alam ini sebagai hamba dan khalifah, kemudian mereka akan mati dan akan dipersoalkan tentang tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh Allah. Ini adalah berdasarkan kepada ayat-ayat 55 surah Az-Zariyat, 30 Al-Baqarah, 72 Al-Ahzab, 172 Al-A`raf dan lain-lain.
Falsafah Pendidikan Islam pula ialah falsafah pendidikan yang berteraskan ruh Ialam, iaitu falsafah Islam untuk pendidikan. Matlamat daripada Pendidikan Islam ialah menyediakan manusia dengan ilmu pengetahaun yang cukup agar ia kenal dirinya serta tugas dan tanggungjawabnya, serta mengetahui cara untuk menjalankan atau melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah. Bila ia dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan baik maka jadilah ia insan yang soleh.
Ahli falsafah pendidikan Islam atau failasuf pendidikan Islam ialah orang yang berusaha berfikir mencari apakah perkara-perkara yang perlu dimasuklah ke dalam kurikulum pendidikan. Ini termasuklah ilmu, kemahiran, nilai, pengalaman dan sebagainya. Setelah menjalani pendidikan maka akan lahir seorang insan yang kenal dirinya, kenal Tuhannya, faham tujuan Allah jadikan segala yang ada, mengetahui hukum-hukum Allah dan mengamalkannya, bertamadun, pandai berkawan sama ada dengan orang Islam atau pun bukan Islam.
Antara perkara yang penting yang difokuskan oleh falsafah pendidikan Islam ialah:
Pendidikan Aqidah, Pendidikan Ibadah, Pendidikan Akhlak, Pendidikan Akal, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Rohani, Pendidikan Keterampilan, Pendidikan Keibubapaan, Pendidikan Kemasyarakatan, Pendidikan Kepimpinan, dan banyak lagi.
Perkara-perkara yang menjadi dasar pendidikan Islam ialah:
1. Keesaan Allah
2. Kepercayaan kepada pesuruh-pesuruhNya
3. Kepercayaan kepada wahyu
4. Potensi manusia dalam perkembangan moral dan kerohanian
5. Setia individu bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri
6. Kehidupan keduniaan dan akhirat
7. Persamaan dan persaudaraan sejagat antara semua umat Islam
Berdasarkan falsafah Islam, semua perkara yang disebutkan di atas perlu ada dan menjadi tajuk-tajuk penting dalam kurikulum pendidikan Islam. Dengan demikian, barulah dapat melahirkan insan soleh yang mampu melaksanakan tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah dengan betul dan sempurna.
Mengasaskan Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri
Institut Pengajian Tinggi atau Al-Zuhri diasas sebagai agensi pendidikan swasta pada awal tahun 2000 untuk mengisi kekosongan keperluan pengajian Islam sepenuh masa dan separuh masa di peringkat tinggi di negara ini. Sehingga akhir 1990an, tiada institusi yang menyediakan pengajian agama secara khusus di peringkat pos menengah. Terdapat beberapa buah madrasah (Aljunied, Al-Maarif dan Wak Tanjong) yang mengelola pengajian dari peringkat rendah, menengah dan pra-universiti di bawah satu bumbung dan di bawah satu pengurusan. Dari segi keberkesanan, ini tidak sesuai kerana pengajian peringkat tinggi memerlukan kemahiran dan sumber yang khusus. Sementara itu, agak ramai lulusan agama madrasah setempat terpaksa ke luar negera khususnya di Malaysia untuk pengajian peringkat diploma dan seterusnya di peringkat universiti.
Falsafah dan kurikulum Al-Zuhri digubal dengan mengambil kira pemikiran dan pengalaman Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam atau ISTAC serta beberapa buah universiti lain di Malaysia dan di Timur Tengah. Pengajian bahasa Arab di Al-Zuhri secara khusus banyak berdasar kepada kurikulum Universiti lslam Madinah dan Universiti Islam Imam Muhammad Bin Su’ud di Riyadh, Arab Saudi.[8] Secara am, kurikulum ini terbukti baik kerana lulusan Al-Zuhri sudah diterima oleh beberapa buah universiti di Malaysia dan mencapai prestasi baik di peringkat ijazah pertama. Malahan, terdapat beberapa dari mereka sudah melanjutkan pengajian ke peringkat pasca siswazah.
Di samping itu, konteks dan keprihatinan negara Singapura juga diambil kira untuk memastikan pengajian yang disediakan bertepatan dengan keperluan Islam, masyarakat dan negara. Walaupun sumber kewangan dan kepakaran yang amat terhad, para pengasas Al-Zuhri telah mengorak langkah secara bertahap dan konsisten untuk menjayakan visi dan misi yang ditetapkan. Al-Zuhri dimulakan secara amat sederhana dan kos pengurusan dan operasi banyak ditanggung bersama oleh syarikat pendidikan kerabat bernama Andalus Corporation yang sudah lebih awal beroperasi dan mantap aspek kewangan.[9] Seperti yang disebutkan di awal kertas ini, semangat juang dan berdikari dengan sumber-sumber yang amat terhad tidak menghalang memulakan inisiatif penting dalam agama dan pendidikan. Dari niat yang jelas dan iltizam yang kuat berlaku peningkatan kemahiran, pengalaman, pembangunan kurikulum dan pengiktirafan masyarakat secara bertahap-tahap. Kini Al-Zuhri beroperasi di tingkat 4, bangunan wakaf Wisma Indah bersebelahan dengan Masjid Kassim. Kini setelah 10 tahun beroperasi, terdapat kira-kira 500 pelajar sepenuh masa dan separuh masa di institusi ini.
Kesepaduan dalam Pendidikan – Ikhtibar dari Tamadun Andalus
Visi Al-Zuhri ialah suatu institusi yang menyediakan pendidikan Islam bagi melahirkan individu Muslim cemerlang yang menyumbang dalam pembangunan ummah. Manakala, misi Al-Zuhri pula ialah, bertekad membangun potensi akal agar dapat dioptimum peranannya berpandukan Islam dan pemangkin ke arah kesucian rohani menerusi pendidikan Islam sepadu. Al-Zuhri berusaha gigih membina insan bersemangat ilmiah serta bersedia berbakti agar terwujud masyarakat Islam madani yang bertaqwa.
Adakah visi dan misi di atas dapat dijayakan dalam konteks negara Singapura, terutama dengan cabaran sekularisma sebagai satu program falsafah? Bagaimana kesepaduan dapat diwujudkan dalam konteks perceraian ketara dari aspek rasional dan rohani dalam jiwa manusia, budi bicara masyarakat dan pentadbiran negara? Bagaimana boleh dibangunkan insan bertaqwa dalam konteks pemikiran dan aktiviti dalam alam fenomena terpisah dari kuasa dan pengaruh alam ghaib? Bagaimana boleh mewujudkan masyarakat madani dalam konteks segala niat, hajat dan matlamat menjurus kepada kemaslahatan keduniaan semata-mata?[10]
Walaupun, kita sudah merdeka sejak 40-50 tahun lalu, dunia Islam secara am masih dibelenggu dengan pemikiran dan amalan penjajah[11]. Maka, berbalik kepada pengalaman Andalus zaman silam, cabaran utama harus terlebih dahulu tertumpu kepada keilmuan dan pemikiran yang boleh membuat perubahan secara bertahap kepada pelbagai aspek lain dalam kehidupan. Isu politik, sosial, ekonomi dan sebaginya akan terhurai dengan ilmu, pengetahuan, kefahaman dan kemahiran bertepatan.
Kita harus renungi beberapa keistimewaan di awal Andalus sehingga mewujudkan insan-insan yang hebat dan masyarakat serta negara yang cemerlang seperti berikut :
a) Pendidikan sepadu menghubungkait ilmu pengenalan dan ilmu pengetahuan atau fardhu ’ain dan fardhu kifayah. Berupaya meneroka pelbagai ilmu dari pelbagai tamadun awal dan tamadun semasa, menyaring mana yang sesuai, memperbaiki dan mengenalkan ide-ide, kajian dan penemuan baru dan menarik sesuai dengan jiwa dan hukum Islam.
b) Kepimpinan yang ikhlas, adil, berjiwa besar dan berkebolehan serta dihormati. Ulama dan cendekiawan yang bersemangat ilmu, berwibawa dan dipercayai. Kepimpinan yang menjadi penaung dan menyediakan pembiayaan dan membuka peluang seluas mungkin untuk menuntut dan mengembang ilmu.
c) Berusaha agar potensi seramai mungkin insan dipupuk (talent development) untuk pelbagai bidang. Di samping itu, keilmuan dan kemahiran dari pelbagai tempat (talent recruitment) sentiasa dialu-alukan dari pelbagai agama dan bangsa.
d) Konfiden dan terbuka kepada pelbagai bangsa dan agama dari segi hubungan baik antara orang Islam dan bukan Islam serta menggalak persaingan sihat antara insan, masyarakat dan negara. Islam difahami dan dihayati bukan sahaja oleh umat Islam, malahan yang bukan agama Islam juga mendapat manfaat dan lama kelamaan terbuka kepada Islam secara rela hati. Golongan bukan Islam yang tidak memeluk Islam tetap menghormati agama Islam dan umatnya kerana nilai, sifat dan amalan yang mengkagumkan.
Secara am, kurikulum di Al-Zuhri kini ada persamaan dan ada juga keunikan berbanding dengan institusi pengajian tinggi Islam lain di Nusantara. Ilmu-ilmu dasar-dasar agama bersifat teras dan wajib diikuti. Sementara pilihan ilmu-ilmu elektif boleh diubah dari masa ke masa mengikut perubahan semasa. Di samping ilmu pengetahuan, aspek-aspek kemahiran dan penerapan nilai juga diperkenalkan dalam kurikulum dan di luar kurikulum.
Cabaran penting masakini ialah desekularisasi dan Islamisasi ilmu pengetahuan semasa. Hakikatnya, isu-isu ini sudah dibahaskan dengan mendalam dan meluas untuk tempoh yang agak lama. Tetapi usaha ini harus diteruskan walaupun memakan masa dan kita harus optimistik bahawa perkara ini secara bertahap-tahap akan lebih difahami dan dipraktikkan dengan lebih berkesan.[12]
Setelah 10 tahun sejak diasaskan, sudah agak ramai lulusan Al-Zuhri yang terbukti bersemangat ilmu dan terus melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dan pasca ijazah. Ramai lulusan Al-Zuhri juga mula berkhidmat dalam pelbagai bidang dan menyumbang dengan cara yang bersesuaian. Mereka tidak tertumpu kepada bidang pengajian agama sahaja. Program separuh masa juga mendapat sambutan baik dari masyarakat golongan belia dan dewasa.
Al-Zuhri telah mengenalkan beberapa aspek dalam kurikulum yang boleh mewarisi aspek-aspek penting dalam tamadun Andalus. Modul-modul ilmu teras agama menjadi dasar pengajian dan wajib diikuti seperti Ulum al-Quran, Ulum Al-Hadith, Ulum Al-Syariah, Ulum Al-Syariah, Aqidah dan Bahasa Arab. Di samping itu, beberapa modul elektif diperkenalkan seperti Tasawwur Islam, Tamadun Islam, Sejarah Pendidikan Islam, Pemikiran Islam Semasa, Sains Islam dan lain-lain. Ini bermakna para pelajar Al-Zuhri diberi pengukuhan kepada dasar-dasar agama dan juga pendedahan dan latihan merentasi pelbagai disiplin ilmu agar mendapat perspektif yang lebih terbuka luas dan mencabar. Minda pelajar dilatih dan dinilai dari segi ingatan, penilaian, perbandingan, perkaitan serta aplikasi melibatkan fakta-fakta dan pelbagai pemikiran serta kefahaman dalam konteks pelbagai. Mereka tidak menjalani pengkhususan dalam pengajian pada tahap awal. Pengajian juga tidak bersifat jumud dan tertumpu kepada aliran pemikiran tertentu dan terhad.
Sebagai contoh, dalam modul Sejarah Pendidikan Islam, pelajar diberi pendedahan awal kepada tokoh-tokoh Islam dan karya-karya tersohor di Andalus seperti Ibn Tufayl, Ibn Rusyd, Al-Syatibi dan Ibn Khaldun. Perbincangan dilakukan mengenai matlamat dan kaedah pendidikan serta perbandingan pendidikan dari perspektif tradisional dan moden. Para pelajar diberi asas dan pendedahan yang berpatutan di peringkat diploma agar mereka terdorong membuat kajian yang lebih mendalam dan meluas mengenai tokoh-tokoh tersebut dan karya-karya penting mereka di pengajian peringkat tinggi. Sumbangan Ibn Rusyd dalam kitabnya Bidayah al-Mujtahid dan Al-Syatibi dalam kitabnya Al-Muawafaqat, telah memaparkan kematangan dan kemuncak yang tinggi dicapai dari segi kesarjanaan melibatkan bidang kefahaman Islam dengan perbahasan ilmu syariah di Andalus. Pemikiran dan perbahasan maqasid yang dikembangkan oleh Al-Syatibi dari ulama-ulama yang terdahulu, telah banyak membantu dan menyumbang kepada masyarakat Islam hari ini untuk berdepan dengan pelbagai isu-isu semasa dan cabaran kontemporari yang masih menjadi perbahasan hangat di kalangan ahli-ahli intelek Islam.
Contoh kedua, dalam modul Sains Islam pula, para pelajar diberi pendedahan kepada definisi-definisi dan istilah-istilah penting dalam sains secara umum dan takrifan sains dari perspektif Islam. Perbahasan antara sains bersifat sekular dan sains berteraskan Islam juga dibincangkan dengan panjang lebar. Punca-punca kecelaruan dalam ilmu dibahaskan dan kesedaran kepada kesepaduan dalam ilmu-ilmu mendapat tumpuan. Pendekatan histeriografi diperkenalkan agar pelajar faham mengenai dinamik pemikiran dan kegiatan dalam konteks yang bertepatan. Biografi beberapa tokoh sains Islam di Andalus dibentangkan seperti Al-Bitruji (astronomi), Al-Zahrawi (perubatan), Ibn Firnas (penerbangan), Ibn Battuta (penjelajahan), Ibn Baytar (Botani) dan Ibn Khaldun (Sejarawan).
Sumbangan tamadun Andalus dari segi para sarjana terbilang dan karya-karya agung memang sukar ditandingi sehingga kini. Antara keistimewaan utama tamadun ini ialah keseimbangan dan kesepaduan dalam kehidupan dalam alam fisikal dan spiritual. Ini adalah satu masalah utama dalam tamadun masakini. Seminar ini merupakan peluang keemasan untuk kita mempergiatkan usaha pertama-permata amat bernilai di tamadun Andalus ditemui dan digilap semula untuk menjadi rujukan dan panduan kita. Iltizam yang kuat harus diwujudkan di kalangan para pemimpin dan cendekiawan dan sumber-sumber yang mencukupi harus disediakan agar hal ini berjaya dilaksanakan.
SEMBER-SUMBER ARTIKEL DI ATAS :
[1] British telah menjajah Singapura dari tahun 1819 sehingga 1965 selama 146 tahun. Agenda kuasa penjajah Kristian antara lain ialah menyebarkan pemikiran dan dakwah Kristian dengan membuka sekolah-sekolah missionari, gereja-gereja dan menguasai sumber dan ekonomi negara jajahan. Pengaruh dan kejayaan mereka berkekalan sehingga kini walaupun penjajahan sudah berakhir 43 tahun yang lalu .
[2] Untuk perbahasan agak panjang lebar mengenai pendidikan Islam dalam negara sekular Singapura, sila baca Nor Aishah Abdul Rahman dan Lai Ah Heng, eds, Secularism and Spirituality: Seeking Integrated Knowledge and Success in Singapore, (Singapore: Institute of Policy Studies and Marshall Cavendish Academic, 2006).
[3] Mengenai kemelut masalah dan ketinggalan orang Melayu di Singapura sebagai pribumi, sila baca, Lily Zubaidah Rahim, Dilema Singapura. Peminggiran Politik dan Pelajaran Masyarakat Melayu, (Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2004).
[4] Perbahasan lanjut dalam hal ini terdapat di S.M. Hossain, ”A Plea for a Modern Islamic University: Resolution of the Dichotomy” ed., Syed Muhammad Naquib al-Attas, Aim and Objectives of Education, (Jeddah Hodder and Stroughton, 1979).
[5] Sebagai satu contoh sahaja, kini ramai wanita membujang kerana desakan pendidikan, pekerjaan dan hak sama rata dalam kehidupan. Kadar kelahiran sudah menjunam kerana ramai tidak berkahwin atau berkahwin lewat dan tidak bersedia melahirkan dan menjaga ramai anak.
[6] Sebagai satu contoh sahaja, perjudian melalui platform ’integrated resort’ dipersetujui oleh pihak berwajib agar menjadi salah sumber merancak pertumbuhan ekonomi dan menyediakan peluang-peluang pekerjaan baru serta pendapatan kepada beberapa industri sampingan. Dalam laporan kajian oleh Development Bank of Singapore (DBS) pada Ogos 10, untuk separuh tahun pertama 2010, terdapat sumbangan sebanyak $470 juta atau 0.7% dari Gross Domestic Product (GDP) dari Resorts World Sentosa dan Marina Bay Sands. Jumlah ini dijangka meningkat kepada $2 billion atau 0.7% dari GDP untuk tempoh genap setahun. Di samping itu, perjudian juga dilulus untuk lumba kuda, sukan bolasepak dan toto.
[7] Untuk perbincangan agak ringkas tahap kelemahan dan kejatuhan Bani Umayyah di Andalus, sila rujuk pada Mahayudin Yahya, Islam di Sepanyol dan Sicily, (Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur, 1999) 40-47
[8] Bahasa Arab menjadi bahasa utama umat Islam di Andalus dan juga bahasa keilmuan dalam pelbagai bidang. Bahasa ini diterapkan dalam pendidikan dan berkembang luas di Andalus. Sila lihat Mahyudin Yahaya, Islam di Sepanyol dan Sicily (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990), ms 78. Tetapi, bahasa Arab kini banyak berperanan dalam pengajian ugama sahaja dan sudah hilang pengaruh dan peranan dalam bidang-bidang ilmu lain.
[9] Al-Zuhri juga berganding bahu dengan agensi pendidikan kerabat iaitu Andalus dan Cordova yang mempunyai 10,500 pelajar separuh masa di 20 buah lokasi di Singapura. Andalus diasas pada tahun 1996 dan Cordova pada tahun 1999.
[10] Perbahasan yang rencam dan bertepatan mengenai matlamat pendidikan dan cabaran sekularisma terdapat di Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam and Secularism, (Kuala Lumpur, ABIM, 1977).
[11] Untuk perbincangan yang lebih mendalam dalam hal ini, sila lihat Wan Mohd Nor Wan Daud, The Educational Philosophy and Practices of Syed Muhammad Naquib Al-Attas: An Exposition of the Original Concept of Islamization, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1986).
[12] Dalam tempoh 5 tahun (1977-1982), terdapat lima konferens sedunia berkaitan pendidikan Islam yang diadakan di Universiti Raja Abdul Aziz University (Arab Saudi), Universiti Quaid-i-Azam (Pakistan), Institut Pendidikan dan Kajian Islam (Bangladesh) dan di Indonesia. Sila lihat eds., Niaz Erfan and Zahid A. Valie, Recommendations of the Four World Conferences on Islamic Education. Education and the Muslim World: Challenges and Responses, (Lahore: Institute of Policy Studies and Islamic Foundation, 1995).