Pembangunan Ekonomi Islam : Perspektif Malaysia
Pembangunan ekonomi memang merupakan titik keperihatinan ramai bijak pandai. Baik cendikiawan muslim mahupun bukan muslim. Tajuk ini memang luas dan menyentuh berbagai aspek kehidupan. Namun yang hendak difokaskan oleh penulis dalam kesempatan ini ialah menjelaskan maksud pembangunan ekonomi dari sudut Islam dan merumuskannya dari perspektif individu atau rakyat Malaysia yang mempunyai berbagai keturunan dan agama.
Meskipun ekonomi merupakan suatu bidang dan dimensi yang khusus dalam kehidupan manusia namun pembangunannya tidak terlepas dari dimensi dan aspek-aspek lain yang melatari perkembangan masyarakat manusia itu sendiri. Sebab itu persepsi Islam mengenai pembangunan ekonomi tidak memecingkan mata untuk membangun keseluruhan prasarana dan dimensi yang ikut melatari pembangunan ekonomi secara langsung atau tidak langsung. Justeru pembangunan alam benda berkait rapat dengan pembangunan alam rohani, jati diri dan nilai sosio-budaya.
Perbincangan mengenai tajuk ini merangkum perbincangan tentang konsep pembangunan, unsur-unsur pembangunan, asas pembangunan, matlamat dasar pembangunan, reformasi dan pembangunan ekonomi di Malaysia, kesan globalisasi terhadap pembangunan, dan sebagainya.
Konsep Pembangunan Ekonomi
Menurut Dr Abdul Ghani ‘Abod : Adams mendefinisikan Economic Growth sebagai :
"ﺗﺤﻮل ﻣﺴﺘﻤﺮ, واﻋﺎدة ﻟﺘﻮزﯾﻊ اﻟﻤﻮارد وﻛﺎن اﻟﺘﺤﻮل ﻣﻦ اﻟﻨﺎﺣﯿﺔ اﻟﺘﺎرﯾﺨﯿﺔ ﻣﻦ اﻟﺰراﻋﺔ اﻟﻰ اﻟﺼﻨﺎﻋﺔ, وﻣﻦ ﺛﻤﺔ اﻟﻰ
اﻟﺨﺪﻣﺎت"
Perkembangan atau peralihan yang berterusan, merangkum pengagihan semula sumber-sumber kekayaan. Perkembangan dari sudut sejarahnya dari era pertanian kepada era industeri dan dari tahap itu kepada era perkhidmatan.”
Namun menurut Dr Abdul Ghani definisi ini akan dilihat sebagai suatu definisi yang sempit kecuali pengertian proses peralihan tersebut difahami secara meluas; merangkum perubahan dalam setiap aspek kehidupan.
Samaada pembangunan merangkum atau tidak aspek pertumbuhan namun umum berpendapat bahawa Economic Growth juga bermakna Economic Development secara lumrah. Kedua-duanya saling kait mengait dan diperlukan dalam negara membangun.
Sebenarnya konsep pembangunan ekonomi Islam bertolak dari pengembangan sumberdaya manusia (human capital) dan penguasaan teknologi sebagai penggerak utama (driving force) pembangunan ekonomi. Pengembangan sumber daya manusia merangkum seluruh potensi dan keberdayaan dan kualiti kemanusiaan dari sudut rohani dan moral.
Pembangunan ekonomi merangkum pembangunan sistem kewangan dan dasar perniagaan global yang adil. Ia juga merangkum pemerataan kebebasan sosial, keadilan ekonomi, pengembangan teknologi, usaha mempelbagaikan sumber dan sebagainya.Sebuah negara dikira sebagai negara membangun berasaskan kadar piawaian atau kategori tertentu. Kategori diukur berdasarkan Keluaran Negara Kasar per kapita bagi sesebuah negara. Sesebuah negara dikatakan membangun apabila telah melalui pertumbuhan ekonomi dan perubahan struktur ekonomi. Pertumbuhan ekonomi ialah peningkatan pendapatan (keluaran negara per kapita) manakala perubahan struktur ekonomi ialah perubahan kepentingan sektor kepada perindustrian, peratus penduduk bandar yang tinggi, jangka hayat semasa lahir yang panjang dan kadar buta huruf yang rendah, serta pendedahan kepada arina antarabangsa dan sebagainya.
Pembangunan dalam Islam merangkum spectrum sistem nilai dan idea, sistem sosial yang mengandungi sitem kekeluargaan, politik, ekonomi, pelajaran, undang-undang dan peralatan budaya seperti penciptaan alat-alat keperluan hidup, kemudahan pengangkutan, bangunan, mesin, jentera, alat media massa, komputer dan lain-lain.
Menurut Habakkuk( 1981,14):
Economic development is an immensely complicated process. It is not just a matter of natural resources capital and labour. It is part of the whole social development of a society, it depends not merely on economic circumstances but on social structure and the attitudes of people to life as a whole.
Dalam masa yang sama pembangunan menyeluruh bagi mana-mana negara bangsa tertakluk kepada tiga faktor penting: Kesedaran tentang permasalahan kemunduran dalam segenap dimensinya, kesedaran tentang perlunya usaha menghapuskan kemunduran dan tindakan menghapuskan kemunduran itu sendiri
Unsur-Unsur Pembangunan
Unsur yang terpenting dalam pembangunan ini ialah unsur manusiawi; kendatipun tidak dinafikan bahawa konsep pembangunan Islam itu adalah bersifat komprehensif dan bersepadu. Pembangunan dari perspektif Islam mengoptimumkan faktor kesejahteraan manusia, akhlak ,dan kebendaan, kerohanian dan fizikal, ekonomi dan sosial.
“Sebagai pembangunan yang bersifat pelbagai dimensi, Islam menggalakkan perseimbangan antara pelbagai faktor- kebendaan dan kerohanian, kuantitatif dengan kualitatif, luaran dengan dalaman. Islam menetang kekufuran dan kezaliman, sebaliknya menganjurkan kesyukuran dan keadilan.”
“Oleh kerana pembangunan berkait rapat dengan soal pembaikan taraf hidup, faktorfaktor ekonomi tidak dapat dipisahkan kerana ia mempengaruhi pembangunan sosial secara langsung. Walau bagaimanapun pembangunan tidak harus disamakan dengan peningkatan di dalam per kapita, pengeluaran dan jumlah eksport. Apa yang penting ialah pembangunan perlu dikaitkan dengan kualiti hidup masyarakat, dengan itu pembangunan perlu mampu menyelesaikan masalah-masalah yang berkait dengannya; yaitu persoalan tentang kemiskinan, keperluan asasi manusia seperti makanan mencukupi dan memenuhi zat yang minimum, keupayaan untuk mendapat tempat perlindungan, keupayaan memperolehi peluang pekerjaan untuk menyara keluarga, keupayaan menghantar anak ke sekolah, keadaan alam sekitar yang bersih dan lain-lain petunjuk sosial yang bersangkutan dengan suasana kehidupan yang sempurna yang layak dinikmati oleh manusia.”
Selain dari itu terdapat unsur lain yang menjadi fak tor penentu; seperti sumber pembangunan ekonomi yang pelbagai, kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi, sistem kewangan nasional dan internasional yang stabil dan adil, sistem politik yang baik, telus, dan saksama yang menggalakan partisipasi seluruh rakyat dalam membuat keputusan-keputusan penting, persekitaran antarabangsa yang condusive dan tidak menindas kerana kemunculan neoclonialisme baru. dan sebagainya.
Asas Pembangunan
Pembangunan bertolak dari falsafah dan konsep yang merujuk kepada persoalan asas dalam hidup. Dalam konteks umat Islam asas yang paling fundamental ialah akidah atau iman. Asas ini menegaskan bahawa manusia sebagai pemegang amanah Allah bertanggungjawab untuk memakmurkan alam dan mengurusnya dengan cara yang paling baik dan saksama. Allah tidak suka perbuatan merosakkan; alam tempat penghunian manusia dan makhluk Allah yang lain dari generasi ke generasi. Kehadiran manusia di dunia ini adalah untuk penyembahan dan ubudiah diri kepada Allah. Asas Iman, Islam dan Ihsan melatari segala gerak kerja pembangunan.
Syariat adalah asas pembangunan yang berikutnya. Pengembangan ekonomi mesti merujuk kepada asas-asas yang syar’i dan halal. Segala akad-akad yang fasid serta muamalat yang berunsur gharar dan qimar tidak boleh menjadi amalan dalam membangun ekonomi. Pembangunan mesti menjulang dasar yang adil, tidak menindas, atau melalui kaedah yang zalim dan haram Asas berikutnya ialah asas akhlak atau Ihsan. Pembangunan keperihatinan
moral adalah prasyarat dalam pembangunan ekonomi Islam. Sebab itu usaha meningkatkan kemakmoran mesti digandingi oleh usaha meningkatkan ibadah, menggilap ruhani dan tendensi kejiwaan yang lohor dan positif. Hal ini penting untuk mengukuhkan kawalan dalaman serta daya kontrol nafsu dan kemahuan yang rendah. Jika tidak dilakukan maka masyarakat akan dihantui oleh kecenderungan melempiaskan nafsu syahwat dan peningkatan jenayah serta maksiat.
Selain dari itu ilmu, teknologi dan keterampilan adalah asas yang tidak kurang pentingnya dalam menjana pembangunan ekonomi umat Islam. Semakin tinggi pencapaian warga umat Islam dalam bidang ilmu, teknologi dan keterampilan maka semakin meningkat kemajuan pembangunan ekonomi yang dapat dicapai.
Ini berkait rapat dengan keupayaan untuk takhassus atau mencapai darjat specialisasi dalam berbagai bidang pengeluaran.
Matlamat Dasar Pembangunan
Tujuan pembangunan dapat diklasifikasikan kepada beberapa peringkat. Perkara ini boleh diperincikan sebagai matlamat, objektif dan sebagainya. Namun dalam kertas ini kita hanya akan memusatkan perhatian kepada peringkat matlamat secara umum seperti mana yang dijelaskan oleh ramai para ilmuan.
Matlamat pertama dalam dasar pembangunan ekonomi Islam ialah pembangunan sumber daya manusia. Pembangunan ini merangkum pengembangan seluruh potensi dan kudrat manusia dalam pelbagai lapangan dan domain serta traits keperibadiannya. Ia merangkum usaha meningkatkan keterampilan dan kemahiran hidup khasnya dalam ekonomi yang berasaskan kepada pengetahuan dan e-dagang.
Matlamat berikutnya ialah Peningkatkan Pengeluaran. Perkara ini dicapai dengan pertumbuhan yang berterusan dan berkekalan dalam pengeluaran negara dari segi kuantiti, kualiti, kecekapan dan campuran keluaran yang betul. Memberi keutamaan dan galakan kepada pengeluaran yang dihalalkan, lebihlebih lagi terhadap barang keperluan asas. Manakala barang yang diharamkandan tidak digalakkan perlu dikawal, disekat atau dibatasi pengeluarannya. Pembangunan Seimbang juga merupakan matlamat pembangunan ekonomi Islam. Ia bukan hanya bermakna pembangunan yang harmoni dan seimbang antara wilayah-wilayahdan antara sektor-sektor ekonomi tetapi juga kepada pemulihan kesaksamaan agihan pendapatan dan pemilikan harta.
Seterusnya ialah Peningkatan Kualiti Kehidupan. Pembangunan ekonomi Islam merangkum peningkatan prasarana kebajikan ekonomi rakyat, peningkatan budaya kepenggunaan yang bijak dan seimbang; tidak membazir dan lebih mementingkan kepada memenuhi keperluan secara bersahaja serta mengelakkan amalan hidup bermewah-mewah. Rakyat sewajarnya merasa semakin selamat, penawaran barangan keperluan yang serba cukup, pengangkutan yang serba mudah, bantuan kewangan dan kebajikan untuk seluruh rakyat, perlindungan pengguna melalui institusi al Hisbah, pembangunan infrastruktur fizikal dan sosial, kestabilan harga khasnya harga barang keperluan asas, kemudahan rawatan dan sebagainya. Untuk itu kerajaan perlu mengujudkan peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat, membangun dan menyediakan jaminan sosial yang berkesan disamping memastikan kesaksamaan agihan pendapatan dan kekayaan
Perkembangan Teknologi dan Penyelidikan juga menjadi matlamat yang seterusnya.Kemajuan ekonomi banyak bergantung kepada kemajuan dalam bidang teknologi tinggi dan penyelidikan. Perkembangan dalam bidang ini semestinya sesuai dengan dengan keperluan dan halatuju negara Islam. Kejayaan menghasilkan pengeluaran produk teknologi yang tinggi dalam berbagai bidang meningkatkan kebebasan dan kemerdekaan umat dan negara Islam itu sendiri.
Seterusnya ialah meningkatkan Keupayaan Pertahanan Negara. Umat dan negara umat Islam sering menjadi sasaran pencerobohan kuasa asing yang mahu merampas sumber kekayaan dan menjajah mereka, oleh itu peranan pembangunan ekonomi Islam ialah meningkatkan segala prasarana pertahanan dalam segala bentuk untuk menangkis pencerobohan asing. Ini memerlukan wujudnya dasar pertahanan yang bukan sahaja mementingkan pembangunan tenaga ketenteraan bahkan membangun kilang senjata sistem komunikasi canggih, pengeluaran peralatan perang dan lain-lain. Allah berfirman dalam Surah al-Anfal ayat 60:
وَأَﻋِﺪﱡواْ ﻟَﮭُﻢ ﻣﱠﺎ اﺳْﺘَﻄَﻌْﺘُﻢ ﻣﱢﻦ ﻗُﻮﱠةٍ وَﻣِﻦ رﱢﺑَﺎطِ اﻟْﺨَﯿْﻞِ ﺗُﺮْھِﺒُﻮنَ ﺑِﮫِ ﻋَﺪْوﱠ اﻟﻠّﮫِ وَﻋَﺪُوﱠﻛُﻢْ وَآﺧَﺮِﯾﻦَ ﻣِﻦ دُوﻧِﮭِﻢْ ﻻَ
ﺗَﻌْﻠَﻤُﻮﻧَﮭُﻢُ اﻟﻠّﮫُ ﯾَﻌْﻠَﻤُﮭُﻢْ
Bersiap siagalah menghadapi mereka dengan apa sahaja kekuatan yang kamu mampu ; serta barisan pertahanan berkuda untuk menakutkan musuh Allah dan musuh kamu. Juga (untuk menggerunkan) musuh lain yang kamu tidak kenal mereka namun Allah cukup mengenali mereka.
Akhirnya ialah Pengurangan Pergantungan Kepada Negara Asing dalam konteks pertahanan. Negara umat Islam perlu mencapai kemandirian dalam hubungan pertahanan. Ini juga bermakna negara-negara umat Islam perlu membentuk strategi pertahanan bersama; sesama negara Islam demi mempertahankan maruah agama dan tanahair mereka. Tanpa perjanjian pertahanan bersama satu demi satu negara tersebut akan ditakluk oleh musuhmusuh mereka dengan berbagai alasan palsu yang antaranya ialah untuk memerangi keganasan global.
Reformasi dan Pembangunan Ekonomi di Malaysia
Untuk lebih menjuruskan perbincangan mengenai tajuk kertas kerja ini kita paparkan beberapa idea pokok untuk meningkatkan pembangunan ekonomi dan pemulihannya sepertimana yang dirumus oleh beberapa cendikiawan muslim baru baru ini . Antara lain mereka menegaskan bahawa dalam rangka mengurangkan beban yang ditanggong olehrakyat. Maka, langkah-langkah di bawah perlu diambil oleh kerajaan :
1.Mengurangkan beban cukai
Meningkatkan paras pendapatan yang dikecualikan cukai ke RM12,000 setahun di samping meningkatkan elaun anak-anak ke paras yang munasabah;
Meningkatkan paras pengecualian cukai pendapatan untuk isteri yang bertugas sebagai surirumah sepenuh masa sebagai tanda penghargaan akan sumbangan besar mereka;
Meningkatkan paras pengecualian cukai khidmat kepada jumlah niaga sejuta ringgit setahun;
Menyemak semula sistem percukaian negara secara keseluruhannya, dengan tujuan untuk memperkukuhkan hasil kerajaan sambil mengurangkan beban cukai terhadap rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
2.Menghapuskan kemiskinan mutlak
Menghapuskan kemiskinan mutlak dalam jangka masa separuh penggal;
Mengurangkan kadar kemiskinan dalam jangka masa satu penggal kepada paras separuh daripada kadar kemiskinan pada tahun 1999;
Membaiki dasar serta rancangan pembasmian kemiskinan supaya dibebaskan daripada campurtangan politik dan benar-benar membantu golongan termiskin;
Menyelaraskan berbagai program pembasmian kemiskinan yang sedia ada;
Mengurangkan jurang pendapatan serta kekayaan di kalangan rakyat Malaysia tanpa menjejaskan hak sah semua rakyat.
3.Membantu peniaga kecil dan penjaja
Menamatkan amalan pelesenan peniaga kecil dan penjaja sebagai sumber pendapatan negara dan sebagai alat politik kepartian, sebaliknya menggunakan sistem pelesanan hanya untuk pengurusan dan pemantauan demi menjamin keselesaan dan kesihatan rakyat, peniaga kecil dan penjaja;
Menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang selesa, bersih dan menarik bagi penjaja.
4.Memulihkan perkhidmatan pengangkutan awam
Dalam konteks ini Kementerian Pengangkutan perlu:
Membaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam dan mengurangkan kadar tambang pada keseluruhannya supaya sesuai dengan taraf hidup rakyat;
Memberi permit teksi kepada pengusaha-penguasaha individu dan koperasi mereka, bukan lagi kepada syarikat besar;
Meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan teksi oleh pengusaha individu melalui pembentukan koperasi, persatuan, majlis dan sebagainya untuk menghasilkan sistem pengangkutan teksi yang teratur;
Menurunkan kadar tambang penerbangan domestik antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak demi mendorong integrasi nasional dan pelancongan dalam negeri;
Memodenkan dan mempertingkatkan perkhidmatan keretapi di Semenanjung Malaysia;
Memajukan sistem jalanraya di Sabah dan Sarawak;
Memberi perhatian yang lebih serius terhadap masalah kemalangan dan bahaya lalu lintas dengan menyediakan kemudahan serta peraturan sesuai yang dapat menjamin keselamatan orang ramai;
Mengkaji kemungkinan cara pengangkutan awam baru di bandar-bandar utama di Malaysia untuk membaiki mutu hidup di bandar;
Mengadakan perkhidmatan pengangkutan bas-bas sekolah yang lebih teratur dan menasabah dari segi tambang untuk meringankan beban kepada ibu-bapa.
5. Mencapai Pertumbuhan Dinamik dan Adil
Supaya ekonomi kita lebih dinamis dan untuk meningkatkan daya saing kita di pasaran global, kita perlu juga pertingkatkan permintaan domestik serta pelaburan domestik yang produktif, bukan membazir. Oleh itu kerajaan perlu:
Mengkaji semula rangka pengawasan yang sedia ada, dengan tujuan mengatasi kekurangannya;
Memastikan sektor swasta berteraskan etika pengurusan korporat, sedangkan sektor perbankan dan kewangan tidak disalahgunakan dan senantiasa diuruskan dengan telus dan bertanggungjawab;
Mengutamakan projek-projek yang menjana manfaat yang paling besar kepada rakyat seperti projek-projek perumahan kos sederhana dan rendah, projek memodenkan sistem keretapi, projek jalanraya di negeri Sabah dan Sarawak, dan sebagainya;
Menghentikan projek-projek mega seperti Empangan Bakun dan Empangan Sungei Selangor yang membazir, memusnahkan alam sekitar dan tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat;
Mempertingkatkan peluang ekonomi yang saksama bagi semua rakyat, dengan memberikan perhatian khusus dan bantuan khas kepada golongan yang dhaif, dan sokongan yang cekap untuk inisiatif usahawan tempatan, terutamanya usahawan kecil dan sederhana;
Memastikan pembangunan ekonomi seimbang lagi mampan, dan tidak menjejaskan keutuhan sosial atau memusnahkan alam sekitar dan sumber alam;
Memastikan rakyat miskin atau kurang berada di kampung-kampung tradisi, kampung-kampung baru dan ladang-ladang diserap ke dalam arus utama pembangunan negara menerusi rancangan pembangunan khas serta memberikan punca pendapatan lebih baik, pekerjaan dan milik tanah kepada mereka.
Memastikan bahawa hak istimewa tidak disalahgunakan untuk memberi kemewahan kepada segelintir suku-sakat orang berkuasa.
6. Memantapkan perindustrian
Walaupun perindustrian di Malaysia agak maju, kemampuan industri Malaysia masih agak ketinggalan dan kurang diberi perhatian dan sokongan sewajarnya. Kemampuan industri Malaysia masih tidak seimbang dan harus diutamakan dengan dasar serta institusi yang sesuai memandangkan masalah serta cabaran yang dihadapi. Sejajar dengan kelemahan ini kerajaan perlu:
Memodenkan ekonomi dan membanyakkan industri dengan daya pengeluaran tinggi bagi meningkatkan daya saing ekonomi negara dan menggalakkan eksport yang bernilai tinggi;
Mengatasi kelemahan teknologi industri kita yang memperlihatkan jurang yang agak luas di antara yang agak mundur dengan yang paling canggih;
Memastikan bahawa projek-projek besar, termasuklah projek-projek industri berat, dirancang secara sepadu dan selaras dengan pelan induk perkembangan industri yang menasabah;
Memberi insentif serta sokongan lebih untuk industri kecil dan sederhana.
Menggalakkan lagi melalui sekim insentif yang tepat hubungan antara industri tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, dengan syarikatsyarikat besar antarabangsa untuk meningkatkan pemindahan teknologi kepada industri tempatan serta kegunaan input tempatan;
Menyokong usahawan tempatan dan menggalakkan perkembangan kemahiran serta kemampuan sumber manusia tempatan tanpa menolak kemahiran luar;
Menggunakan modal, kepakaran, pasaran dan teknologi luar dengan bijaksana demi memperkukuh asas-asas ekonomi tempatan;
Meningkatkan peranan sains dan teknologi demi kemajuan, dan memantapkan pendidikan sains asas di samping kemudahan latihan teknikal yang sesuai;
Meningkatkan dan mempercekapkan peruntukan kewangan serta perangsang lain untuk penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi.
7.Mengukuhkan pertanian dan perikanan kecil dan sederhana
Akhir-akhir ini ini, kerajaan seolah-olah melupakan pentingnya sektor pertanian pada keseluruhannya, dan nasib serta masalah pekebun kecil khasnya. Oleh itu perkara ini perlu perbetulkan dengan memberi tumpuan yang wajar kepada sektor asas ini, yang sebenarnya telah menyelamatkan ekonomi Malaysia ketika kegawatan ekonomi melanda.
Dalam konteks ini kerajaan perlu:
Mengutamakan pembangunan pertanian untuk meningkatkan pengeluaran makanan demi keselamatan dan kestabilan negara;
Mempertingkatkan penyelidikan pertanian, khususnya teknologi tinggi, makanan serta kegunaan industri hasil tanaman di Malaysia;
Menggubal undang-undang demi melindungi kepelbagaian alam (biodiversity) dalam bidang pengeluaran pertanian dan perhutanan, serta mempertingkatkan penyelidikan kegunaan industri bahan kepelbagaian alam;
Mengkaji semula rancangan-rancangan FELDA, FELCRA, RISDA, MAJUIKAN serta badan-badan kemajuan pertanian dan perikanan lainnya untuk membaiki pengurusan dan teknologinya demi memanfaatkan para peneroka, petani dan nelayan;
Menyusun semula monopoli pemerintah yang menelan sumber ekonomi kerajaan supaya menjadi badan yang lebih cekap, berkesan dan sesuai dengan pasaran;
Melaksanakan dengan tegas undang-undang pengasingan kawasan perikanan supaya melindungi nelayan kecil daripada pencerobohan bot besar dan pukat yang merosakkan punca perikanan tepi pantai;
Membangunkan lebih banyak tanah terbiar untuk meningkatkan pembangunan pertanian.
8.Teknologi dan ekonomi maklumat untuk semua
Rakyat Malaysia menyedari teknologi maklumat (IT) telah muncul dengan cepat sebagai bidang yang amat penting dan dinamik dalam ekonomi global, sedangkan beberapa pimpinan negara telah banyak memberi perhatian mengenainya. Akan tetapi, masih terdapat beberapa jurang yang amat luas, misalnya di antara bandar dan luar bandar, yang mesti diatasi supaya kita tidak akan ketinggalan zaman dengan kesan yang malang bagi mereka yang tertinggal.
Oleh demikian, perlu dilancarkan usaha berikut:
Mempercepatkan penyambungan infrastruktur telekomunikasi ke seluruh pelusuk negara dan mengurangkan kos penggunaannya bagi rakyat jelata;
Mengembangkan pendidikan teknologi maklumat (IT) di semua sekolah dari sekolah rendah;
Merancang semula pengenalan teknologi maklumat (IT) kepada masyarakat umum dengan lebih berkesan;
Melancarkan program ‘satu kampung, satu pusat IT’ dengan memberi insentif yang wajar untuk menggalakkan penyebaran kemudahan teknologi maklumat di pekan kecil dan di luar bandar;
Mewajibkan perancangan infrastruktur teknologi maklumat di semua skim perumahan yang baru, termasuk rumah kos murah dan sederhana, dan memodenkan infrastruktur ini di kawasan perumahan sedia ada dengan cara yang paling cekap;
Berunding dengan pengeluar perisian untuk mendapat perisian yang murah untuk pasaran tempatan.
9.Utamakan perusahaan kecil dan sederhana
Perusahaan kecil dan sederhana boleh memainkan peranan yang penting, bukan hanya untuk pemulihan ekonomi, malah dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa. Akan tetapi, amatlah ketara rangka institusi kini perlu dirombak semula supaya benar-benar menyokong pembangunan dan perkembangan perusahaan ini. Banyak insentif perlu diberi untuk menggalakkan peningkatan secara berterusan teknologi pengeluaran dan perkhidmatan perusahaan kecil dan sederhana serta daya pengeluaran mereka.
Sehubungan ini, kita perlu:
Menubuhkan dana pelaburan yang dijamin oleh kerajaan untuk pembangunan perusahaan kecil dan sederhana yang diperuntukkan mengikut prestasi, bukan pilih kasih politik.
10.Merombak rangka dasar penswastaan
Kini begitu ketara sekali dasar penswastaan kerajaan hari ini dan pelaksanaannya telah kerapkali diselewengkan demi menguntungkan segelintir orang dengan pendekatan pilih kawan (kronisme) dan pilih keluarga (nepotisme). Melalui penyelewengan demikian, monopoli swasta telah menggantikan monopoli awam sehingga rakyat dibebankan dengan harga yang terus meningkat. Rangka pengawasan yang sepatutnya melindungi kepentingan awam hampir tiada atau pun tidak berkesan.
Penswastaan boleh digunakan secara berhati-hati demi pembangunan negara, tetapi dasar penswastaan serta pelaksanaannya perlu dirombak. Kalaulah sektor swasta boleh mengurus perkhidmatan dan memajukan projek dengan lebih cekap dan menarik modal yang kekurangan, sektor swasta boleh dijemput mengambilalihnya daripada sektor awam asalkan kepentingan awam tidak dikorbankan. Kemudahan awam yang bersifat monopoli tidak patut dibenarkan menjadi monopoli swasta. Dalam kaadaan sekarang, faedah daripada penswastaan dibolot oleh kroni pemimpin-pemimpin parti pemerintah tertentu, sedangkan hanya sedikit faedah yang tumpah kepada rakyat atau pun sektor awam. Oleh itu langkah-langkah seperti berikut perlu diambil:
Menggantikan dasar penswastaan kini, yang mengandungi unsur udang di sebalik batu, dengan dasar penswastaan telus yang dapat memelihara kepentingan pengguna serta pekerja, dan menjamin hak rakyat. Oleh yang demikian, usaha perlu dibuat untuk memastikan bahawa butir-butir semua kontrak penswastaan diumumkan kepada orang ramai;
Memastikan bahawa dasar penswastaan memanfaatkan masyarakat, dan bukan lagi sekadar menggantikan monopoli awam dengan monopoli swasta;
Memastikan bahawa segala kemudahan dan perkhidmatan awam yang asasi seperti air, pendidikan, kesihatan dan perumahan rakyat hanya diperbadankan atau dikorporatkan demi membaiki pengurusan, tetapi tidak diswastakan;
Memastikan bahawa perusahaan awam yang telah pun diswastakan akan diawasi dengan rapi untuk memelihara kepentingan rakyat (perusahaan yang telah pun diswastakan tidak akan dihakmiliknegarakan kerana kerajaan sayugianya akan patuh kepada undang-undang negara; namun, kontrak yang tidak sah boleh dimansuhkan demi kepentingan rakyat dan negara);
Membentuk sebuah Suruhanjaya Bebas untuk mengkaji dan mengaudit semua projek besar yang telah diswastakan untuk memastikan manfaatnya kepada rakyat.
11.Memantapkan Sistem Kewangan
Malaysia mesti menyediakan rangka yang perlu untuk mengurus sistem kewangannya dengan lebih baik supaya dapat mengambil tempatnya bersama negara-negara lain dalam masyarakat kewangan antarabangsa. Maka oleh itu perlu dibatalkan langkah-langkah kawalan modal 1 September 1998 dan menggantikannya dengan sistem baru untuk mengawasi pengaliran kewangan supaya dapat mengelak krisis 1997-8 daripada berulang.
Sistem kewangan dalam negeri perlu ditangani supaya:
bersifat adil, telus, bertanggungjawab serta tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam;
menyalurkan pelaburan dan kemudahan kredit ke bidang yang produktif, bukan ke bidang spekulatif;
memulihkan imej, prestij dan kewibawaan Bank Negara;
memastikan perbelanjaan persekutuan disalurkan terutamanya untuk mempertingkatkan taraf hidup golongan miskin, serta kawasan desa dan pendalaman yang masih terpinggir.
Sistem percukaian wajar diteliti dengan tujuan menggunakannya untuk menggalakkan para pengguna dan pengusaha industri supaya lebih peka terhadap pemeliharaan alam sekitar serta perkara-perkara lain yang diingini dari segi kepentingan negara. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah percukaian terhadap untung spekulasi, pengurangan beban cukai pendapatan upah, gaji dan dividen, dan percukaian terhadap sumber-sumber alam untuk menggalakkan penggunaannya yang cermat dan lain-lain.
Pengaruh Globalisasi Terhadap Pembangunan EkonomiGlobalisasi mempunyai dampak yang positif dan negative. Perbincangan mengenai hal ini terus berkecamuk antara golongan yang pro dan kontra atau golongan yang mengambil jalan tengah. Apa pun jua sesuatu yang tidak dapat dinafikan ialah order dunia baru kerap diwarnai oleh kepentingan negara besar, kaya, dan kuat ; khasnya yang mempunyai rekod menjajah dan masuk campor dalam urusan dalam negara mundur dan negara baru membangun.
Dasar-dasar perdagangan , undang-undang antarabangsa , kekekangan terhadap penyelidikan dan teknologi pertahanan dan sebagainya banyak melindungi kepentingan negara-negara super power dan negara kaya. Oleh sebab itu banyak negara-negara dunia ketiga atau negara yang baru membangun terperusuk dibawah tekanan peruntukan ini dan tindakan negara kaya untuk memaksakan dasar, sistem dan nilai mereka dalam pembangunan ekonomi di dalam negara mereka masing-masing. Ada negara yang semakin bertambah miskin dan bertompok hutang luar negara mereka hasil dari daripada mengikuti telunjuk dan nasihat pakar Bank Dunia umpamanya.
Ini bermakna negara-negara umat Islam perlu membentuk blok-blok ekonomi sesama mereka untuk menghadapi gugatan yang bersifat menyeluruh dan global . Mereka wajar mempunyai mekanisme khusus dalam menangani kesan dan pengaruh negative globalisasi yang menghakis kebebasan dan kemerdekaan negara dan rakyat.